Monday, August 31, 2009

SAHABAT

Sahabatku…
Semalam telah layu sekuntum bunga,
Telah gugur dari jambangannya,
Tetapi itu bukan perjuangan kita,
Bukanlah itu sebagai lambangnya,
Mulut telah kaku untuk bertanya,
Hati malu untuk memikirkannya,
Tidak seperti dahulunya,Kita kuat berhujah dan bersuara.

Ingatlah sahabatku..
Kerana dulu dan kini kita tetap sorang mujahid,
Yang merindukan dan memburu syahid,
Maafkanku andai kataku menyakitkan.

Senyumlah sahabat..
segaris senyuman dan serilah wajah,
Walaupun pudar dan hambar datang tak sudah,
Belajarlah menjadi seorang yang tabah,
Doaku agar kita berani seperti Hamzah,
Malah punyai semangat seperti Sumaiyah.

©MIR KAMILA BT ABD RAHMAN
MRSM MERBOK 09

NYAWA DUNIA

Tercalar rantai pusaka,
Terguris jiwa raga,
Menyaksikan nista durja,
para remaja yang alpa,
Diulit cermin dunia,

Ah!
Rakusnya jari manusia,
Merebut kemewahan sementara,
Rejaman kuasa media,
Menabur fitnah semata-mata,

Sedarkah mereka?
Bumi semakin tua,
Tidak!
Manusia tidak pernah lupa,
Tetapi gemar berpura-pura,
Apabila ditanya semua,
Petahnya berbicara,
Sayangnya sekadar suara.

©Maryam Ahmad
MRSM MERBOK 09

BAWAH TAPAK KAKI

Saat infantisid menjadi budaya
Maka berlimpahlah bayi-bayi suci
Menjadi korban si dewasa
Akal bawah tapak kaki.....
Dalam longkang hanyir
Di tengah pokok-pokok sawit
Digigit,dimamah tubuh kesejukan itu
Maka menangis, meraung si kenit
Sehingga bisu.....

Tatkala sungkur menyembah
Nafsu syaitan
Tidak terfikirkah kalian.....
Syaitan bertopengkan insani
Akan nasib anak comel itu
Setidak-tidaknya....
Berilah ia peluang menikmati
Alam ciptaan Tuhan
Berilah ia kesempatan mendengar
Kicau burung, merdu lagu,
Deruan ombak, desiran angin,
Juga merasa hangat pancaran mentari...
Berilah si kecil itu kehidupan
Walau hanya dengan sehelai kain
Membalut tubuh menggigil.....

©NurSyazwani
MRSM MERBOK 09

Segalanya Dalam Kenangan

Teman,
Tiga musim nan berlalu mengukir bicara,
Apabila pertemuan suci mesra terlaksana,
Dengan kata nan indah bersama ungkapan,
Salam manis dan sekuntum senyuman,
Menjadi sapaaan menyuburkan benih persahabatan,
Berumpun kerelaan berakar kesetiaan,
Berbunga kemesraan dan berdaun kejujuran.

Teman,
Di sini adalah bumi harapan yang menghidupkan,
Seribu impian diselangi,
Gelak tawa dan gurau senda teman-teman,
Seperjuangan kita terus setia dalam melakarkan gambaran,
Pelangi tujuh lapisan warna,
Mengarang melodi dan melabuh tirai senyuman,
Di pelabuhan silaturrahim,

Teman,
Kini dalam pelarian waktu kita telah terpisah,
Namunku mengharapkan ikatan ukhuwah ini,
Akan tersimpul erat dalam kurniaan perasaan,
Lantaran itu ingatlah pada daerah ini,
Kesepian pasti menyira kekosongan di kamar hati,
Tetapi mengertilah kau harus tabah dan tega,
Melangkah jauh dan memilih haluanmu sendiri.

©Ain Munirah Mohd. Rosli
MRSM MERBOK 09

Persahabatan

Berapa banyak ujian yang harus ditempuhi
Adakah selamanya harus begini
Mungkinkah ini dugaan ilahi
Betapa aku mengharap datangnya kebahagian
Daripada secebis senyuman
Mungkinkah ada kekesalan
Dalam setiap tangisan

Kesunyian yang menyapa hati
Kerap kali kau tangisi
Bilakah penderitaan akan akhiri
Adakah sehingga aku menemui mati
Sekiranya aku pergi menemui ilahi
Aku mahu semua ketahui
Betapa derita aku tanggungi
Akanku semat dalam hati

Percayalah wahai sahabatku
Aku tak pernah berkata palsu
Sekiranya aku menipu
Hanya mahu kamu tersenyum
Jangan diragukan nilai persahabatanku
Salah faham yang bertandang biarlah berlalu
Mimpi yang datang hanya mainan tidurmu
Usah dikenang hingga mengganggu fikiranmu..

©Sharifah Nooraishah bt Syed Mohd Zainol
MRSM MERBOK 09

mana maruahmu?

Di sini ketika tiba,
ada suara keramat menyambut,
menjentik naluri insani.

namun pasti,
tanda calar masih berbekas
kerana kau insan yang dusta.

kenapa kau alpa?
kenapa kau leka?
sedangkan sakratul maut pasti menunggumu,
semakin hari semakin mewabak,
semakin mengentap jiwa.

wahai sahabat-sahabatku,
bersihkan dirimu,
bersihlah diri dengan kalimah sakral,
kerana ia pembersih dosa-dosa yang hina.
agar suara keramat itu dikeramkan
sewaktu ia tiada disini.

©Izzati
MRSM MERBOK 09

Al-Kisah Di Lembah Tandus

Khabarnya dari lembaran sirah
tercetera keangkuhan Abrahah
terbit memuncak di bumi Habsyah
kebencian menjalar di lembah tandu
slalu memacu angkatan bergajah
nawaitu mahu menyelapak kota Kaabah
agar kiblat berkalih ke gereja
ekstrim munafik !

Firasat kaum kafirun
tiada siapa yang mampu menentang mereka
kerana tidak sedardi sebalik bukit berpasir
yang sering berubah-ubah
akibatnya amarah Pemilik Kaabah
lalu di situ
langit tidak berbumbung meluruhkan
tanah-tanah berapi
melumatkan keangkuhan seteru
yang berjiwa laknat.

Kisah di tahun gajah
dijadikan pedoman zaman-berzaman
buat tatapan manusia yang mengaku
dirinya terlalu agung !

© Azizi Afiq
MRSM MERBOK 09